Sepatah Kata



 

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terima kasih diucapkan kepada mereka-mereka yang terlibat dalam menjayakan pembikinan Laman Web ini. Walaupun nama mereka tidak disertakan di sini, bukan bermakna jasa-jasa dan bantuan yang telah dihulurkan telah kami lupakan. Ini kerana, mereka ini terlalu ramai, tidak kira yang terlibat secara langsung ataupun sebaliknya. Terima kasih sekali lagi kami ucapkan.

Homepage ini agak simple saja kerana kami masih lagi baru dalam bidang ini dan tidak berpengalaman dalam pembuatan sebarang homepage sebelum ini. Kami juga tidak pernah mengikuti sebarang kelas komputer/IT secara langsung tetapi hanya mempelajarinya daripada beberapa orang rakan di internet.

Laman Web ini dibuat bertujuan untuk mengingati kembali segala kenangan manis dan pahit detik persekolahan semasa di tingkatan lima. Dengan adanya Laman web ini, di harap para pelajar dari Kelas Lima Bestari SMPO tidak akan melupakan warga Kelas ini termasuk guru-guru yang telah banyak berjasa dan membimbing kami untuk menjadi manusia yang berjasa dan berguna kepada agama, bangsa dan juga negara. Dua tahun berada dalam satu kelas tentunya banyak peristiwa-peristiwa yang sukar dilupakan yang boleh dijadikan kenangan dan diimbas kembali suatu masa nanti

Kelas 5 Bestari merupakan salah sebuah kelas yang terdapat di Sekolah Menengah Kebangsaan Pengiran Omar atau nama ringkasnya SMPO. Sekolah ini terletak di tepi pantai, di sebuah daerah pedalaman Sabah, iaitu di Daerah Sipitang yang bersempadan dengan Sarawak, Kalimantan, dan Brunei. Sessi pengajaran dan pembelajaran di Sekolah ini terbahagi kepada dua iaitu sessi petang untuk mereka yang berada di tingkatan 1 hingga tingkatan 2 dan sessi pagi bagi mereka yang berada di tingkatan 3 hingga tingkatan 6. Ini kerana sekolah ini tidak dapat menampung jumlah pelajar yang terlalu ramai.

Kelas 5 Bestari 1999 merupakan kelas 5 Bestari yang pertama di SMPO seperti juga tahun yang sebelumnya menjadi kelas 4 Bestari yang pertama kerana kelas ini baru diwujudkan pada tahun 1998 setelah didapati 4 Setia tidak dapat menampung kira-kira 55 orang pelajar pada ketika itu. Oleh yang demikian, kelas baru yang sealiran dengan Kelas 4 Setia telah diwujudkan dan ini menyebabkan pelajar-pelajar kelas 4 Setia telah dipecah kepada dua, iaitu sebahagian telah memasuki kelas 4 Bestari dan sebahagian lagi masih tetap menjadi pelajar kelas 4 Setia. Dengan itu, wujudlah dua kelas bagi aliran Sains di SMPO.

Walaupun dua kelas yang sealiran ini saling bersaing dari segi pelajaran, namun hubungan yang erat terjalin antara para pelajar kedua-dua kelas ini. Ini kerana, kedua-dua kelas ini akan digabungkan dalam mata pelajaran "Pendidikan Jasmani dan Kesihatan". Selain itu, gabungan dua kelas ini juga dibuat bagi mata pelajaran Pendidikan Islam (bagi pelajar muslim) dan Pendidikan Moral (Pelajar Non-muslim). Ini menjadikan Kelas 5 Bestari dan 5 Setia seperti adik beradik dan para pelajarnya jua seperti berada di dalam kelas yang sama.

Kami juga tidak lupa menyelitkan nama dan gambar guru-guru yang telah banyak berjasa dan membimbing kami menjadi manusia yang berguna sejak kami di tingkatan 4 lagi. Jasa mu tetap kami kenang buat selamanya.

Akhir kata, jika ada sebarang kekurangan dalam Laman Web ini, kami memohon maaf dan akan berusaha untuk memperbetulkan dan mengubahsuainya mengikut keperluan. Sekian, terima kasih.

Bestari Towards New Millenium!!!


 


HOME
SEPATAH KATA
5 BESTARI 1999
BIODATA & ALAMAT PELAJAR
GURU OH GURU!




GALERY
Pelajar Individu
Pelajar Berkumpulan
Guru-guru

(NEW) TERKINI (BARU)
GUESTBOOK

#SIPITANG WEBNET
 

BeSiGn By
Na^rT_rhT